Skip to content

Borang Balik Kampung akan diedarkan ke rumah. Sila lengkapkan borang dan kembalikan ke peti surat surau ataupun serahkan kepada Pengerusi Taman. Senarai penuh akan diserahkan kepada Ibu pejabat Polis.

Balik Raya

Assalamualaikum.

Selamat menjalankan ibadah puasa.  Tinggal 8 hari saja lagi untuk kita neyambut hari raya. Ramai diantara kita akan pulang beraya di kampung halaman. Pasti ramai diantara kita yang sedang memikirkan tentang keselamatan rumah sepanjang berhari raya di kampung. Jawatankuasa taman bersepakat untuk menyerahkan maklumat penduduk yang akan pulang berhari raya kepada ibu pejabat polis Sepang. Pihak polis akan membuat rondaan berkala di TIKLIA.

Sehubungan itu, minta kerjasama tuan puan untuk melengkapkan borang di pautan di bawah atau borang yang akan diedarkan di rumah. Serahkan kepada Pengerusi Taman, En Zainizam atau letakkan di peti surat surau.

BORANG BALIK KAMPUNG

Bersama-samalah kita doakan keselamatan taman kita. InsyaAllah.

Petikan Aduan : Rondaan Malam

Assalamualaikum,

rasanya RONDAAN MALAM perlu diperbincangkan semula memandangkan ramai yang dah tak turun… rasa mcm tak adil utk yang turun… dah takde kesepakatan pula.. mohon BIRO terlibat buat semakan semula…

Dari : Tidak Dinyatakan ( Diminta kalau boleh sertakan nama atau no rumah untuk sebarang aduan )

Mohon kita perbincangkan di sini mengenai isu ini. Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, pondok kawalan TIKLIA boleh dikatakan gelap hampir setiap malam. Jika berlampupun, pondok ini tidak berpenghuni. Tidak mahu dipersalahkan kepada yang datang berkawal tidak berteman kemudian balik ke rumah selepas setengah jam. Lebih baik balik dari berkawal berseorangan kerana agak bahaya.

Adakah kerana tidak ada berlaku sebarang kejadian rompakan pada sebelah malam, kawalan tidak lagi diperlukan? Atau tidak berkesempatan.

Mohon pihak berkenaan membincangkan semula langkah2 yang sepatutnya diambil untuk mengatasi masalah ini demi keselamatan bersama. Mohon juga kepada penduduk untuk membangkit isu kenapa tidak hadir berkawal. Nak upah jaga? Atau nak pasang sistem keselamatan canggih? Atau apa alternatif yang ada?

Mohon kerjasama.

Petikan aduan : Perkhidmatan MP Sepang

Assalamualaikum,

Petikan dari aduan:

Cukai Pintu Kita Baru Terima. Mungkin bagi penduduk fasa 1 & 2, Pembayaran ini bermula dari Januari hingga Disember 2011. Di sini saya nak penduduk bersatu untuk menuntut perkhidmatan yang Majlis Perbadaran Sepang patut buat bermula Januari hingga sekatrang ttp tidak dibuat terutama sekali punggutan sampah, potong rumput, pembersihan longkang, pembersihan kawasan tadahan air sementara yang banyak longgokan sampah selepas hujan dan perkhidmatan2 lain.

Setahu saya kita telah membayar perkhidmatan penyenggaraan kepada pemaju(bagi Fasa 2 & 3) dan bayaran RM15.00 (bagi Fasa 1) ini adalah untuk pembayaran lori sampah dan penyenggaraan lain. Saya bercadang penduduk TIKLIA berbincang untuk menyelesaikan masalah ini dan berjumpa dengan pemaju dan MPS serta Pengerusi JPP Labu merangkap Ahli Majlis MPS.

Dari :
En. Sejili B Dahan
Setiausaha Surau Al Musawwir & Penaja Persatuan Penduduk Taman Indah KLIA

** Sehingga tarikh hari ini, kita belum menerima sebarang notis untuk apa jua perkhidmatan yang sepatutnya dijalankan oleh Majlis Perbandaran Sepang.

MESYUARAT AGONG SURAU DAN PERLANTIKAN JK PENAJA PERSATUAN PENDUDUK

MAJLIS MESYUARAT AGONG SURAU DAN PERLANTIKAN JK PENAJA PERSATUAN PENDUDUK 2011

Ketetapan Tarikh Majlis:

Tarikh   :  20 Mei 2011
Hari       :   Jumaat
Masa     :   9 malam
Tempat:   Surau Al-Musawwir,  Taman Indah KLIA

Tentatif Majlis:

1.    Ucapan Aluan oleh Pengerusi Majlis
2.    Bacaan Doa
3.    Ucapan Pengerusi
4.    Ucapan dan Perasmian oleh Tn Pengerusi JPP Zon Labu, Ahli Majlis MPS
5.     Jamuan Ringan
6.     Pembentangan Aktiviti – Pengerusi
7.     Pembentangan Laporan Kewangan – Bendahari
8.     Pembentangan Usul Perlembagaan Surau – Pengerusi Majlis
9.     Usul untuk Penyatuan JK Surau dengan JK Penaja Persatuan Penduduk
10.   Pembubaran Jawatankuasa Penaja Surau
11.   Perlantikan Pengerusi Sementara Mesyuarat
12.    Pelantikan Jawatankuasa Surau/Penduduk yang baru

12.1.        Pengerusi
12.2.        Timbalan Pengerusi
12.3.        Setiausaha
12.4.        Timbalan Setiausaha
12.5.        Bendahari
12.6.        Timbalan Bendahari
12.7.       11 AJK
12.7.1     7   orang dilantik semasa Mesyuarat
12.7.2     4   orang akan dilantik oleh Jawatankuasa baru
12.8.       2  orang Juru Audit

13.    Membaca Cadangan Usul penduduk-jika ada
14.    Hal-hal lain
15.    Ucapan Penangguhan

Tuan-tuan boleh menyemak Perlembagaan Surau, Laporan Kewangan Terkini di surau Al-Musawwir bermula pada Ahad 15 Mei 2011.

SESI MENDENGAR BANTAHAN NILAIAN CUKAI TAKSIRAN

SESI MENDENGAR BANTAHAN NILAIAN CUKAI TAKSIRAN BAGI TAMAN INDAH KLIA, SEPANG

Tarikh: 2 April 2011
Tempat: Bilik Semarak, MP Sepang
Masa: 12.30 Tgh
Wakil Penduduk Hadir: 12 orang

Bantahan yang di buat adalah seperti berikut:

Jawatankuasa Penaja Penduduk memohon agar kadar Taksiran di nilai semula berdasarkan rasional dan justifikasi yang perlu dipertimbangkan seperti berikut:-

i. Kaedah pengiraan dan nilaian berbeza-beza bagi setiap premis penduduk.

ii. Penyerahan pentadbiran taman oleh pemaju kepada pihak MP Sepang masih belum dilaksanakan yang menyebabkan beberapa penyelenggaraan seperti pungutan sampah dan pemotongan rumput sebahagian diuruskan sendiri dan sebahagian diuruskan pemaju.

iii. Sistem perparitan yang tidak sempurna sehingga menyebabkan banjir, tahun lepas pernah sekali berlaku banjir.

iv. Tahap keselamatan penduduk dan ketenteraman yang masih rendah disebabkan oleh kes kejadian kecurian dan pecah rumah kerap terjadi di kawasan perumahan ini sehingga kini 11 kes kecurian telah berlaku.

v. Gangguan daripada anjing-anjing liar yang berkeliaran membahayakan keselamatan penduduk terutamanya kanak-kanak.

vi. Pemaju juga tidak menyediakan kemudahan tapak surau, permohonan telah dimajukan untuk menggunakan sebuah rumah sebagai surau sementara masih belum diluluskan oleh MP Sepang.

vii. Pencemaran bunyi oleh kilang membuat bahan binaan yang lokasinya berdekatan dengan kawasan Taman ini dan mengganggu ketenteraman penduduk terutamanya bunyi bising dari kawasan kilang pada waktu pagi.

viii. Tiada papan tanda nama Taman diletakkan dijalan utama. Penduduk membuat sendiri tanda nama bagi memudahkan orang ramai menuju lokasi kawasan perumahan ini.

ix. Kemudahan untuk akses keluar dan masuk ke kawasan Taman ini didapati agak sempit dan membahaya.

x. Belum ada bendul keselamatan di kawasan Taman.

xi. Pencawang maxis yang berhampiran dengan kawasan taman, gelombang bunyi dari pencawang tersebut boleh membahayakan penduduk.

xii. Tiada kemudahan kedai atau pasar dalam kawasan perumahan ini. Diminta kawasan perniagaan sementara diujudkan.

xiii. Kos sara hidup yang meningkat juga merupakan antara faktor penduduk merasakan agak membebankan.

xiv. Tanah di Taman ini merupakan tanah rezab Melayu pajakan mukim 99 tahun.

xv. Bantahan Individu:
En Anuar memohon penilaian taksiran ke atas rumahnya di nilai semula kerana tidak munasabah.

Perkara yang telah dijawab oleh Pihak MP Sepang:

i. Pengiraan terhadap penilaian taksiran harta yang dibuat adalah bergantung kepada luas rumah yang dibina termasuk pengubahsuaian yang telah dibuat. Oleh itu nilai taksiran berbeza mengikut keluasan rumah. (Bagi yang membuat pengubahsuaian rumah selepas tarikh taksiran dibuat, pihak MP Sepang akan membuat taksiran semula kemudian).

ii. Pembinaan bendul adalah dibuat oleh MP Sepang atas permohonon penduduk dan memerlukan 80% penduduk bersetuju.

iii. Permohonan individu En Anuar di terima dan akan dibuat penilaian taksiran semula.

Keputusan Bantahan

Pihak MP Sepang akan membuat keputusan berkaitan bantahan ini dan dijangka akan dikeluarkan pada bulan Mei 2011.

Sama-samalah kita berdoa agar bantahan ini diterima dan cukai taksiran dikurangkan.

Di catat oleh:
Pengerusi Penaja Penduduk.

Panggilan mendengar bantahan cukai taksiran

Bismillahirahmanirrahim;

Assalamualaikum,

Kepada semua penduduk TIKLIA yang telah menandatangani surat bantahan cukai taksiran tempoh hari, tuan/puan adalah dimaklumkan seperti berikut:

NOTIS PANGGILAN MENDENGAR BANTAHAN CUKAI TAKSIRAN

Sesi Mendengar Bantahan terhadap Nilai Tahunan yang telah ditaksirkan ke atas harta tuan/puan :

Masa : 11.15 Pagi

Tarikh : 02 April 2011 ( Sabtu)

Tempat : Bilik Mesyuarat Semarak, Aras 4, Pejabat MPSepang, Cyberjaya

Sila bawa bukti pengenalan diri sekiranya tuan/puan hadir sendiri. Sekiranya tuan/puan ingin diwakili, tuan/puan hendaklah memberi kepadanya satu surat kuasa secara bertulis.

***  Notis daripada Pengarah, Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta bagi pihak Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang.

Mesyuarat Jawatankuasa Penaja Surau TIKLIA bersama penduduk TIKLIA

Bismillahirahmanirahim,

Berikut adalah minit Mesyuarat Jawatankuasa Penaja Surau TIKLIA bersama penduduk TIKLIA

Tarikh   :              18 MAC 2011
Masa      :              9.15 MALAM
Tempat :              SURAU AL-MUSAWWIR TAMAN INDAH KLIA

UCAPAN PENGERUSI

Pengerusi memulakan mesyuarat dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan salam serta mengucapkan terima kasih kepada semua Qariah yang hadir dan mengalu-alukan kedatangan Penaung, Tn Hj Mustaffa kerana dapat hadir pada mesyuarat kali ini.

UCAPAN PENAUNG/PENASIHAT

Penaung/Penasihat Tn Haji Mustaffa memberi ucapan sepatah dua kata dan mengucap ribuan terima kasih kepada AJK dan Qariah serta penduduk Taman di atas kerjasama yang diberikan sejak menetap di taman ini dan supaya dapat diteruskan.

Penyata Kewangan

Pengerusi telah membaca Penyata Kewangan Surau yang telah disediakan oleh Bendahari setakat 16 Mac 2011. Keseluruhan Kutipan, Perbelanjaan dan Baki tunai sehingga 16 Mac 2011 adalah seperti berikut:-

a. Kutipan Keseluruhan     RM7,003.00

b. Belanja                                 RM4,899.38

b. Baki Sehingga 16/3/11  RM2,103.62

Draf Perlembagaan Surau

Tuan Pengerusi memberitahu berkenaan dengan Draf Perlembagaan Surau untuk dibincangkan dalam mesyuarat Agung. Draf ini boleh dimuat turun dari Web Surau Taman Indah KLIA. Para Qariah boleh memberi komen dan cadangan melalui laman web surau iaitu http://surautiklia.wordpress.com atau memajukan cadangan kepada Pengerusi atau kepada AJK Surau.

Tn Haji Mustaffa mencadangkan supaya draf ini dibincangkan dan dikaji oleh Pengerusi dan AJK surau sahaja dan para qariah yang lain boleh menghantar komen atau cadangan mereka kepada Pengerusi dan AJK atau melalui laman web.
Persediaan Menyambut Bulan Ramadhan

Pengerusi memberitahu walaupun bulan Ramadhan akan disambut pada awal Ogos 2011 iaitu lebih kurang 5 bulan lagi, persediaan awal adalah perlu bagi memastikan Program yang dirancang akan berjalan dengan lancar sepanjang bulan Ramadhan nanti.

Dewan Solat

Disebabkan bilik solat sekarang terlalu kecil dan sempit, pengerusi mencadangkan menggunakan bahagian luar surau sebagai dewan solat. Tempat tersebut perlu diubahsuai dengan meninggikan bahagian lantai bagi mengelakkan terkena banjir (seperti yang pernah berlaku tahun lepas). Persetujuan sebulat suara.

Bagi menampung kos pembinaan tersebut yang dianggarkan RM3000.00, dicadangkan mengutip sumbangan ikhlas dari ahli qariah. Para Qariah yang hadir bersetuju untuk mengutip sejumlah RM50.00 setiap rumah.

Imam Terawikh dan Tazkirah

Sepanjang Bulan Ramadhan nanti, surau perlukan seorang Imam yang tetap supaya program Bulan Ramadhan berjalan dengan lancar. En. Mazlan akan menghubungi Abang kepada Imam tahun lepas sama ada beliau boleh memimpin sembahyang terawih nanti. Sementara itu En Syafirol akan bertanya di sekolah Tahfiz berkenaan dengan perkara yang sama juga.

Aktiviti Lain Sepanjang Bulan Ramadhan

Pengerusi memaklumkan aktiviti lain sepanjang bulan itu nanti iaitu:-

a.       Qiamullail

Dicadangkan dilaksanakan pada hujung minggu atau pada malam ganjil Ramadhan.

b.      Tadarus

Dicadangkan ada seorang yang memimpin Tadarus ini dan dibahagi kepada beberapa kumpulan untuk melaksanakan program ini nanti.

c.       Moreh

En Darul mencadangkan membuat tabung kutipan Moreh. Semua qariah bersetuju untuk mengutip sumbangan ikhlas RM20.00 dari setiap rumah. Dengan ada tabung moreh ini urusan jamuan selepas solat terawikh akan dikendalikan oleh AJK yang dilantik. Sekira ada ahli qariah yang berhajat untuk membuat jamuan moreh boleh maklumkan kepada AJK tersebut lebih awal.

d.      Sedekah Tahlil

Borang penyertaan sedekah Tahlil bulan ramadhan akan diedarkan menjelang bulan ramadhan nanti.

Nota: Jika ahli qariah ingin mencadangkan tambahan aktiviti bulan ramadhan boleh menghubungi AJK Surau

Peralatan Tambahan Untuk Surau

Pengerusi memberitahu perkakasan dan kemudahan surau perlu ditambahkan supaya tidak perlu meminjam perkakasan dari luar jika surau mengadakan majlis. Dari itu sumbangan ikhlas daripada ahli qariah dan penduduk diperlukan untuk pembelian perkakasan ini. Ahli qariah semua bersetuju sumbangan untuk tujuan ini ialah RM30.00 daripada setiap rumah.

Rumusan Sumbangan ikhlas ahli qariah:

No Perkara RM
1 Pembinaan Dewan Solat 50.00
2 Tabung Moreh 20.00
3 Peralatan kemudahan surau 30.00
  Jumlah 100.00

Semua kutipan sumbangan ikhlas ini perlu diserahkan kepada pembantu bendahari iaitu En. Darul No 10/2A . Setelah projek selesai sekiranya ada baki, akan diserahkan kepada Bendahari untuk tabung surau. Kutipan akan dimulakan pada bulan Mac 2011 hingga Julai 2011 (Ansuran 5  bulan-RM20/ sebulan atau pun boleh bayar sekali gus)

NOTA: Kutipan sumbangan ikhlas ini dibuat atas kepentingan bersama    dan merupakan ketetapan minima, sumbangan yang lebih amat dialu-alukan.

Hal-hal lain

Keselamatan Taman

En Zulkifli memaklumkan bahawa respons daripada kumpulan Ronda yang telah ditetapkan bagi bulan Mac sangat memuaskan. Jadual Kumpulan bagi bulan April akan di atur dengan sedikit perubahan sebab dengan penambahan dan ada penduduk belum lagi disenaraikan di dalam kumpulan pada bulan Mac.

En Zulkifli juga menasihatkan ahli ronda supaya meronda di dalam kumpulan dan jangan berpecah terlampau jauh untuk menjaga keselamatan ahli. Mesyuarat Keselamatan akan diadakan pada hujung bulan Mac ini supaya dapat menyampaikan perkembangan bagi bulan ini.

En Zulkifli juga memberitahu pengerusi supaya Bendahari mengeluarkan sedikit wang tabung surau untuk membeli bahan minuman. Semua ahli qariah bersetuju. Jumlahnya minta bendahari berunding dengan yang membuat minuman.

Gotong-royong

En Zulkifli mencadangkan supaya program Gotong Royong boleh diadakan pada awal bulan April 2011 untuk membersihkan kawasan belakang rumah yang berhampiran dengan Ladang Sawit dan belakang Jalan 1. Pengerusi diminta untuk menjemput Penduduk Kampung Lanjut untuk bersama menyertai Gotong Royong ini.

Tarikh cadangan  2 April 2011 (Sabtu) Jam 8 pagi.

Semua Ahli Qariah di minta hadir

Mesyuarat ditangguhkan pada pukul 11:10 malam dengan diakhiri bacaan surah Al-Asr.

Draf Perlembagaan Surau

Bismillahirahmanirahim..

Assalamualaikum,

Berikut adalah draf perlembagaan surau yang dibuat oleh Pengerusi Penaja Surau Al Musawwir Taman Indah KLIA, Cikgu Amin. Mohon kerjasama semua membaca dan memberi komen dan pendapat. InsyaAllah, draf ini akan kita bincangkan dalam perjumpaan atau mesyuarat yang akan diadakan pada bulan Mei atau Jun 2011. Sebarang pindaan atau penambahan bolehlah kita bincangkan bersama untuk kebaikan bersama.

DRAF PERLEMBAGAAN

SURAU AL-MUSAWWIR TAMAN INDAH KLIA

43900 SEPANG, SELANGOR.


1. Nama Dan Alamat

i.           Surau Al-Musawwir Taman Indah KLIA

Al-Musawwir bermaksud Pembentuk ke arah pembentukan sahsiah dan peribadi muslim yang beriman untuk mendapat keredaan ALLAH SWT dunia dan akhirat.

ii.         Alamat Perhubungan :-

Surau Al-Musawwir Taman Indah KLIA,

No 18, Lorong Indah KLIA 2A,

Taman Indah KLIA,

43900 Sepang, Selangor.

2. Motto

“ PEMBENTUKAN SAHSIAH DAN PERIBADI MUSLIM MENJADI INSAN GEMILANG “

3. Tujuan

i.                     Mematuhi perintah Allah SWT supaya mendirikan, membangunkan dan mengimarahkan rumah ALLAH untuk tujuan beribadah, tunduk dan sujud membesarkan Allah SWT.

ii.                   Sebagai pusat pemuafakatan untuk semua ahli qariah termasuk solat dan program kemasyarakan serta kebajikan seperti khairat, ibadah qurban, urusan pengendalian jenazah, gotong royong dll.

iii.                  Sebagai pusat mengeratkan hubungan silaturahim, ukhuwah dan mahabbah (kasih sayang) di kalangan ahli qariah.

iv.                  Sebagai pusat pengajian dan penyebaran ilmu  khususnya ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah.

v.                    Sebagai pusat pentadbiran dan dakwah setempat dalam usaha ke arah kembali kepada kehidupan Islam sebagai cara hidup yang diredhai oleh Allah SWT.

vi.                  Sebagai pusat kemudahan peralatan dan kelengkapan pengendalian majlis untuk kegunaan ahli qariah (seperti kanopi, set buffet, kerusi meja dll). Peralatan dan kelengkapan ini boleh dipinjamkan untuk kegunaan ahli qariah. (Semua harta benda kekal  surau hendaklah direkodkan di atas nama surau).

4. Keahlian

i.                     Semua muslimin dan muslimat yang telah baligh dan bermastautin di Taman Indah KLIA, Sepang, Selangor.

ii.                   Tiada apa-apa syarat untuk penyingkiran atau pemulauan ahli kecualli tidak menepati kehendak hukum syarak.

iii.                  Tiada yuran keahlian yang dikenakan untuk menjadi ahli.

5. Mesyuarat Agung

i.                                 Jawatankuasa pengelola surau dipilih melalui Mesyuarat Agung Surau. Sekurang-kurangnya seramai 30 orang ahli qariah hadir dan berhak mengundi atau dua kali jumlah ahli jawatankuasa mengikut mana-mana yang dahulu bagi mencukupkan bilangan korum mesyuarat.

ii.                               Jika korum tidak mencukupi selepas ½ jam daripada waktu yang ditetapkan maka mesyuarat ini hendaklah di tangguhkan pada suatu tarikh lain yang tidak melebihi daripada 30 hari.

iii.                              Jika korum tidak mencukupi juga selepas ½ jam daripada waktu yang ditetapkan setelah ditangguhkan pada kali pertama maka  berkuasalah ahli yang hadir pada hari itu untuk meneruskan mesyuarat tapi tidak berkuasa mengubah apa-apa keputusan dasar atau perlembagaan surau.

iv.                              Mesyuarat Agung Tahunan surau hendaklah diadakan secepat mungkin setelah berakhirnya tahun kewangan dan tidak lewat dari 31 hb. Mac setiap tahun.

v.        Agenda  Mesyuarat Agung  tahunan ialah :

a)   Menerima laporan aktiviti / program sepanjang tahun lalu

b)   Menerima laporan bendahari dan penyata kewangan yang telah di audit.

c)   Melantik ahli Jawatankuasa dan pemeriksa kira-kira (juruaudit) dan pemegang

amanah untuk tahun akan datang.

d)   Membincangkan usul dan cadangan jika ada dan perkara perkara lain yang berkaitan

vi.      Setiausaha hendaklah mempamir dan menghebahkan kepada semua ahli qariah sekurang-Kurangnya 7 hari sebelum mesyuarat agung diadakan. Satu agenda termasuk salinan peringatan mesyuarat, laporan tahunan dan penyata kewangan surau bagi tahun lalu yang telah diaudit dipamerkan di bangunan surau.

vii.     Mesyuarat agung khas atau luarbiasa surau boleh diadakan :

a)       Bila difikirkan mustahak oleh Jawatankuasa seperti perletakan jawatan atau pengunduran pengerusi dan penolong pengerusi serentak atas sebab kematian, penghijrahan atau salah laku yang melanggar hukum syarak.

b)   Perletakan jawatan dan penarikan diri semua ahli jawatankuasa serentak.

c)   Atas permintaan dan desakan beramai-ramai ahli qariah dengan secara bertulis tidak kurang dari 30 orang ahli qariah.

d)   Peraturan dan prosedur mengadakan mesyuarat agung khas adalah sama seperti mesyuarat agung tahunan di fasal sebelumnya.

e)   Pengerusi dan setiausaha sementara akan dilantik oleh ahli jemaah untuk memainkan peranan mengadakan mesyuarat agung khas bila berlakunya perkara di para  vi (a)(b)

6. Ahli Jawatankuasa Surau

i.          Keahlian

Keahlian Jawatankuasa adalah seperti berikut :

a.         Seorang atau Lebih Penasihat

b          Seorang Pengerusi

c.         Seorang Timbalan Pengerusi

d.         Seorang Setiausaha

e.         Seorang Penolong Setiausaha

f.         Seorang Bendahari

g.         Seorang Penolong Bendahari

h.          Sebelas orang ahli jawatankuasa termasuk seorang wakil muslimat

(7 orang dilantik dalam mesyuarat Agong)

i.         Dua orang Pemeriksa kira-kira

ii.         Syarat Keahlian Jawatankuasa

a.         Islam, warganegara Malaysia , berakal dan baligh.

b.         Berumur melebihi 21 tahun.

c.         Adalah penduduk yang bermastautin di Taman Indah KLIA.

d.         Mempunyai rekod peribadi yang baik dan tidak terlibat dengan apa-apa kesalahan jenayah dan salahlaku yang serius dari sudut pandangan syarak seperti peminum arak, kaki judi, penzina dll.

iii)         Pencalonan

`    Ahli yang tidak hadir didalam mesyuarat agung tidak boleh di calon dan dilantik  kecuali ahli yang mempunyai alasan yang kukuh tidak dapat hadir  tetapi menawarkan diri untuk berkhidmat. Surat  menawarkan diri mestilah sampai kepada setiausaha sehari sebelum mesyuarat agung dan akan di maklumkan oleh Setiausaha di dalam mesyuarat tersebut.

iv.                  Bagi ahli jawatankuasa, 7 orang adalah dilantik didalam mesyuarat agung  mengikut jumlah undi terbanyak dan 4 orang lagi akan di lantik oleh didalam mesyuarat Jawatankuasa yang pertama bagi sesi akan datang.

v.                    Prosedur pencalonan ahli dalam, mesyuarat agung dijalankan berdasarkan kehendak majoriti   dengan  mematuhi format iaitu ;

a.      Nama calon di cadangkan dan perlu disokong sekurang kurangnya seorang ahli.

b.      Di buka untuk sebarang bantahan jika ada.

c.      Sekiranya lebih seorang calon, pemilihan  akan dbuat melalui undian.

d.      Calon yang memperolehi undi tertinggi akan di istiharkan sebagai pemenang dan keputusan  adalah muktamad. Calon terpilih tidak       dibenarkan menarik diri kecuali mempunyai sebab-sebab yang munasabah.

vi.                  Perlantikan jawatankuasa dijalankan setiap dua tahun kalender.

7. Pegawai-pegawai Surau

a.         3 orang Imam

b.         3 orang Bilal ( Muazin )

c.         3 orang Siak

d.         1 orang Pengurus Inventori Peralatan dan Kelengkapan surau

e.         1 orang Pembantu Pengurus Inventori Peralatan dan Kelengkapan surau

f.          1 orang pengurus dan 1 orang Pembantu urusan Pengkebumaian lelaki

g.         1 orang pengurus dan 1 orang Pembantu urusan Pengkemubian wanita

i.          Pegawai pegawai surau adalah dilantik oleh Ahli jawatankuasa berdasarkan ilmu, pengetahuan, kemahiran dan komitmen. Ahli jawatankuasa Surau juga boleh menjadi pegawai surau sekiranya  berkelayakan.

ii.          Syarat untuk menjadi pegawai surau adalah sepertimana syarat menjadi Ahli Jawatankuasa.

iii.         Semua ketua imam, ketua bilal dan ketua siak dimestikan hadir pada setiap kali  mesyuarat Jawatankuasa kerja. Pegawai lain adalah dijemput hadir.

v.         Tempoh perkhidmatan pegawai surau adalah  selama 2 tahun (sama seperti perlantikan Ahli Jawatankuasa surau)

v.          Khidmat pegawai surau ini adalah khidmat sukarela.

vi.         Penamatan pegawai surau hanya boleh dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa dengan persetujuan majoriti Ahli Jawatankuasa

8. Peranan Jawatankuasa

i.          Jawatankuasa berperanan mengelola dan mengatur program dan aktiviti harian surau dan membuat keputusan atau sesuatu perkara yang tidak terkeluar daripada landasan kebenaran yang termaktub dalam Al-Quran dan Assunah.

ii.          Jawatankuasa hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh 4 bulan. Pemakluman bagi setiap mesyuarat hendaklah dimaklumkan kepada ahli Jawatankuasa 7 hari sebelum mesyuarat dijalankan.

iii.         Pengerusi atau sekurang-kurangnya 5 orang ahli jawatankuasa (Setiausaha atau Naib Setiausaha, bendahari dan 3 orang AJK ) boleh memanggil mesyuarat Jawatankuasa pada bila-bila masa yang difikirkan sesuai (pemakluman mesyuarat mesti mengikut para 2 di atas). Sekurang-kurangnya ½ daripada jumlah AJK hendaklah hadir bagi mengesahkan perjalanan mesyuarat.

iv.        Ahli jawatankuasa dan pegawai surau (ketua) yang gagal menghadiri mesyuarat 3 kali berturut turut tanpa alasan yang munasabah adalah  di sifatkan kurang berminat dan telah menarik diri dan akan diganti dengan ahli qariah lain.

v.          Jika ada AJK yang telah meninggal dunia atau berpindah atau menarik diri, jawatankuasa berhak melantik sesiapa sahaja ahli qariah berdasarkan pilihan majoriti  dalam mesyuarat jawatankuasa.

vi.         Jawatankuasa boleh menubuhkan jawatankuasa kecil dan melantik ahli jawatankuasa kecil bagi membantu melicinkan lagi tugas-tugas jawatankuasa.

v.          Jawatankuasa hendaklah menghantar senarai nama-nama AJK baru dan pegawai-pegawai surau yang dilantik di dalam mesyuarat agung kepada Pejabat Majlis Agama Islam Selangor dalam tempoh 2 minggu selepas mesyuarat untuk makluman.

9. Skop Tugas  Ahli Jawatankuasa dan Pegawai Surau

9.1         Penasihat

i.          Sebagai penasihat dan qudwahhasanah kepada semua ahli qariah berdasarkan ilmu, ketokohan dan pengalamannya.

ii.          Memberi nasihat kepada setiap perjalanan aktiviti dan halatuju surau dari masa kesemasa.

iii.         Menjadi pakar rujuk kepada semua permasalahan dalam urusan agama.

iv.         Menjadi pemimpin dan pembimbing kepada ahli qariah.

Penasihat adalah jawatan secara lantikan dan mesti bermastautin di dalam qariah Taman Indah KLIA. Penasihat boleh di jemput menghadiri mesyuarat Jawatankuasa dari masa kesemasa jika perlu.

9.2        Pengerusi

i.          Menjadi ketua kepada organisasi surau

ii.          Mempengerusikan setiap mesyuarat Jawatankuasa

iii.         Merasmikan program dan aktiviti surau

iv.         Turut mengimami solah berjemaah jika ketiadaan imam.

v.          Mewakili surau ke program pihak lain jika di jemput.

vi.         Memastikan perjalanan surau berjalan dengan baik

vii.        Memantau perjalanan setiap ahli jawatankuasa  dan pegawai-pegawai surau.

viii.        Boleh mengimami solat berjemaah jika ketiadaan imam.

9.2       Timbalan Pengerusi

i.          Mewakili Pengerusi  jika ketiadaan pengerusi dalam setiap program dan mesyuarat jawatankuasa.

ii.          Membantu pengerusi dalam memastikan setiap perjalanan surau berjalan dengan baik.

iii.         Timbalan pengerusi juga boleh mengetuai salah satu  lujnah surau jika perlu.

iv.         Boleh mengimami solat berjemaah jika ketiadaan imam.

9.3     Setiausaha

i.          Menguruskan rekod dan maklumat pentadbiran surau

ii.          Memanggil mesyuarat AJK.

iii.         Menyediakan minit mesyuarat Surau selepas mesyuarat dan mengedarkan kepada ahli.

iv.         Menguruskan surat menyurat  dalaman dan luaran surau.

v.          Memaklumkan aktiviti dan program surau dari masa kesemasa.

vi.         Menguruskan  maklumat  untuk mesyuarat agung Surau.

vii.        Menyimpan semua rekod surat menyurat dan apa jua berkaitan perjalanan surau.

viii.        Boleh mengimami solat berjemaah jika ketiadaan imam.

9.4        Penolong Setiausaha

i.          Membantu setiausaha dari masa kesemasa.

ii.          Mencatat minit  dalam mesyuarat jika ketiadaan setiausaha.

iii.         Menghebahkan program surau dipapan kenyataan surau dari masa kesemasa.

iv.         Boleh mengetuai atau mengganggotai lujnah surau jika  bersesuaian.

v.          Boleh mengimami solat berjemaah jika ketiadaan imam.

9.4       Bendahari

i.          Menguruskan hal ehwal kewangan surau

ii.          Menyimpan rekod dan data data berkaitan pendapatan dan perbelanjaan surau

iii.         Menyediakan laporan kewangan bulanan untuk di laporkan kedalam mesyuarat AJK

iv.         Mengawal selia perbelanjaan surau dari masa kesemasa.

v.          Membuat pembelian dan pesanan barangan surau.

vi.         Menguruskan pembayaran bil-bil eletrik, air dll.

vii.        Boleh mengimami solat berjemaah jika ketiadaan imam.

viii.        Menguruskan sumbangan saguhati untuk penceramah jemputan surau dan salurkan kepada lujnah dakwah.

ix.         Menguruskan kutipan derma tabung surau.

x.         Membantu Jawatankuasa mendapatkan dana kewangan surau melalui derma atau lain-lain projek ekonomi.

xi.         Boleh mengimami solat berjemaah jika ketiadaan imam.

9.5        Penolong Bendahari

i.          Menbantu tugas-tugas bendahari

ii.          Boleh mengimami solah berjemaah jika ketiadaan imam.

9.6       Ahli Jawatankuasa

Ahli jawatankuasa berperanan membantu Pengerusi menjalankan program dan aktiviti surau dari masa kesemasa. Bagi melicin dan melancarkan aktiviti beberapa jawatankuasa di ujudkan yang di panggil Lujnah

10. Kewangan

i.               Wang surau ini boleh digunakan untuk perkara yang berfaedah bagi  menjalankan  program  surau termasuklah perbelanjaan pentadbiran, bayaran bil eletrik dan air, belian peralatan surau, belanja pembaikkan surau, jamuan dan keraian, saguhati penceramah dari masa semasa.

ii.       Semua wang surau hendaklah di simpan di Akaun Bank dan semua cek atau kenyataan pengeluaran wang dan kira-kira surau hendaklah di tandatangani bersama oleh pengerusi, setiausaha dan bendahari atau mana mana dua antara tiga penama (pemegang amanah).

iii.      Bendahari di bolehkan menyimpan wang runcit tidak melebihi dari RM 200.00 pada sesuatu masa. Wang selebihnya perlu di masukkan kedalam akaun Bank atas nama Surau.

iv.      Perbelanjaan yang melebihi daripada RM 500.00 bagi sesuatu masa tidak boleh di buat tanpa kelulusan Jawatankuasa terlebih dahulu manakala perbelanjaan yang kurang dari RM500.00 boleh di luluskan oleh pengerusi dan bendahari dengan syarat untuk kepentingan khusus kepada ahli qariah.

v.       Penyata penerimaan dan perbelanjaan setiap bulan hendaklah disediakan oleh bendahari untuk disahkan dalam mesyuarat jawatankuasa manakala penyata tahunan hendaklah disediakan oleh bendahari dan di audit oleh pemeriksa kira-kira yang dilantik apabila telah tamat tempoh kewangan setiap tahun. Penyata kira-kira yang telah diaudit hendaklah dimaklumkan untuk kelulusan mesyuarat agung dan salinannya hendaklah diedarkan untuk makluman ahli.

vi.      Tahun kewangan surau bermula pada 1 januari dan berakhir pada 31 Disember pada setiap tahun.

11. Pemeriksa Kira-kira

i.       Dua orang yang bukannya AJK surau atau pegawai surau boleh dilantik didalam mesyuarat agung sebagai pemeriksa kira-kira (juru audit dalam) dan boleh dilantik semula. Tempoh khidmat adalah dwitahun.

ii.       Pemeriksa kira-kira adalah dikehendaki memeriksa kira-kira tahunan surau dan membuat laporan atau pengesahan untuk diluluskan dalam  mesyuarat agung. Pemeriksa kira-kira juga boleh pada bila-bila masa mengaudit kira-kira  kewangan surau jika difikirkan perlu dalam tempoh khidmat  mereka.

iii.      Pemeriksa kira-kira sebaiknya dikalangan ahli yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman luas dalam perkara kewangan dan pengauditan.

12. Penasihat

Jawatankuasa boleh melantik orang yang berkelayakan untuk menjadi penasihat  melalui persetujuan ahli qariah dalam mesyuarat agung. Penasihat dalah dikalangan ahli yang bermastautin tetap di Taman Indah KLIA dan khidmatnya  adalah dalam tempoh selagi  ianya diperlukan.

13. Sumbangan dan Saguhati

i.      Surau boleh menerima sebarang bentuk sumbangan wang dan peralatan dan apa sahaja yang sesuai dari orang ramai samada melalui tabung surau, kutipan derma, projek ekonomi dan lain-lain yang dibenarkan oleh syarak.

ii.     Surau boleh memberi saguhati sebagai imbuhan yang terdiri daripada penceramah, pengajar dan sesiapa sahaja yang difikirkan sesuai berdasarkan jumlah yang dipersetujui oleh Jawatankuasa dari masa kesemasa.

iii.     Surau juga boleh menerima wang keuntungan dari bank atau dari sumbangan bukan  islam dan wang ini hendaklah di gunakan untuk tujuan pembangunan prasarana surau seperi tandas, pagar, dll.  Surau tidak boleh menerima wang dari  kutipan zakat dari orang ramai.

14. Tafsiran Undang-Undang

i.       Diantara tarikh mesyuarat agung, jawatankuasa boleh memberikan tafsitran kepada undang-undang ini dan jawatankuasa jika mustahak boleh memutuskan perkara-perkara  yang tidak terkandung dalam perlembagaan surau ini sekiranya perlu.

ii.       Kecuali perkara yang bertentangan atau tidak selaras dengan dasar yang telah dibuat dalam mesyuarat agung, keputusan jawatankuasa adalah muktamad jika tidak diubah dalam mesyuarat agung.

15. Larangan

i.       Sebarang jenis salah laku yang bertentangan dengan syarak yang jelas boleh mencemarkan kesucian rumah Allah seperti berjual beli, hiburan melalaikan, maksiat , pergaduhan dan lain-lain adalah di larang sama sekali.

ii.      Surau ini tidak boleh mengambil bahagian dalam menjadi tempat untuk kempen mana- mana parti politik atau pun ceramah politik yang bertentangan dengan islam.

iii.       Surau tidak boleh dijadikan tempat tidur yang berpanjangan  bagi orang-orang yang tidak

berkenaan.

16. Pindaan Undang-undang

i.       Undang-undang dan peraturan ini tidak boleh diubah atau dipinda kecuali dengan keputusan mesyuarat agung. Sebarang pindaan perlulah di usulkan dan di bahaskan dalam mesyuarat agung samada diterima atau di tolak oleh ahli-ahli.

ii.        Undang-undang dan perlembagaan surau ini tidak terikat dengan mana-mana akta  rasmi oleh pihak berkuasa. Undang-undang tubuh ini adalah sebagai  panduan  dan etika untuk membantu ahli dalam  mengelolakan surau  berdasarkan peraturan yang dipersetujui bersama.

-           Sekian    -

Tuan dan puan serta saudara sekalian boleh juga memuat turun Draf Perlembagaan ini di ruangan Muat Turun pada menu sebelah kanan blog.

Wassalam.

Koleksi Hadith : Cintakan Dunia

Bismillahirrahmanirahim..

Daripada Tsauban r.a. berkata: Rasulullah saw. bersabda;

“Hampir tiba suata masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka”. Maka salah seorang sahabat bertanya “Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?” Nabi s.a.w. menjawab, “Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah s.w.t. akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah s.w.t. akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit ‘wahan”‘. Seorang sahabat bertanya, “Apakah wahan itu hai Rasulullah?” Nabi Muhammad s.a.w. kita menjawab, “Cinta pada dunia dan takut pada mati”.

H.R. Abu Daud

Keterangan

Memang benar apa yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. Keadaan umat Islam pada hari ini, menggarnbarkan kebenaran apa yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. Umat Islam walaupun mereka mernpunyai bilangan yang banyak, iaitu 1,000 juta (1/5 penduduk dunia), tetapi mereka selalu dipersendakan dan menjadi alat permainan bangsa-bangsa lain. Mereka ditindas, diinjak-injak, disakiti, dibunuh dan sebagainya. Bangsa-bangsa dari seluruh dunia walau pun berbeza-beza agama, mereka bersatu untuk melawan dan melumpuhkan kekuatannya.

Sebenarnya, segala kekalahan kaum Muslimin adalah berpunca dari dalam diri kaum muslimin itu sendiri, iaitu dari penyakit ‘wahan” yang merupakan penyakit campuran dari dua unsur yang selalu wujud dalarn bentuk kembar dua, iaitu “cinta dunia” dan ‘ttakut mati”. Kedua-dua penyakit ini tidak dapat dipisahkan. “Cinta dunia” bermakna tamak, rakus, bakhil danti dak mahu mendermakan harta di jalan Allah s.w.t. Manakala “takut mati” pula bermakna leka dengan kehidupan dunia dan tidak membuat persiapan untuk menghadapi negeri akhirat dan tidak ada perasaan untuk berkorban dengan diri dan jiwa dalam memperjuangkan agarna Allah s.w.t.

Kitaa berdoa agar Allah s.w.t. menurunkan mushrahNya kepada kaum muslimin dan memberikan kepada mereka kejayaan di dunia dan di akhirat. Insyallah.

 

Hari Menambahkan Kecintaan Kepada Nabi Muhammad Rasul Allah.

Assalamualaikum,

Pada 15 Februari 2011, Alhamdulillah penduduk Taman Indah KLIA sekali lagi bersatu hati berkumpul dan berarak mengelilingi taman sambil memuji dan menyanjung Nabi Muhammad Rasul Allah.

Lebih dari 40 penduduk yang terdiri dari golongan ibu ayah dan anak-anak memberi kerjasama melapangkan masa untuk menjayakan program ini. Matlamat utama program ini adalah untuk menanamkan rasa cinta kepada Nabi Muhammad kekasih Allah. Perasaan ini wajib ditanam dalam setiap diri apatah lagi anak2 kecil kita. Kita tidak mahu mereka hanya tahu menyebut Muhamad tetapi tidak wujud perasaan cinta dan kasih kepada Baginda.

Tahniah kepada yang menjayakannya. InsyaAllah kita akan adakan program seperti ini dari masa ke semasa. Terima kasih kepada yang menaja makanan dan sebagainya. Semoga Allah akan sentiasa mempermurahkan rezeki tuan puan.














Jenis dan Makna Selawat Nabi

Di sini dikumpul sedikit maklumat berkaitan Selawat Nabi untuk rujukan dan amalan. InsyaAllah.

Makna perkataan “Selawat”

  • Perkataan selawat ( bahasa Arab: الصلوات‎ ) diambil dari perkataan solat ( bahasa Arab: الصلاة‎ ), doa, pujian].
  • Telah berkata Al-Bukhariy: Telah berkata Abu `Aliyah:
  1. Salawat Allah subhanahu wata`ala ialah pujian-Nya di sisi para malaikat.
  2. Dan salawat malaikat ialah doa.
  3. Dan salawat orang mu’min ialah memohon rahmat daripada Allah ke atas Nabi Muhammad

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya bersalawat (memuji dan berdoa) ke atas Nabi (Muhammad s.a.w). Wahai orang-orang yang beriman bersalawatlah kamu ke atasnya serta ucapkanlah salam dengan penghormatan.

[Al-Ahzab: 56]

Lafaz Selawat

Terdapat pelbagai lafaz selawat sama ada ucapan selawat yang asal dari Hadith Sahih atau ucapan selawat yang dinukil oleh para alim ulama’.


Dari hadith: [An-Nasa’iy/ 1292, sahih]

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Allahumma salli `ala muhammadin wa`ala ali muhammad

Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya.


Dari hadith: [An-Nasa’iy/ 1288, sahih], [An-Nasa’iy/ 1290, sahih], [Ibnu Hibban/ 1957, sahih]

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَآلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ، وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَآلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

Allahumma salli `ala muhammadin wa`ala ali muhammad, kama sallayta `ala ibrahima wa’ali ibrahim, innaka hamidun majid, wabarik `ala muhammadin wa`ala ali muhammad, kama barakta `ala ibrahima wa’ali ibrahim, innaka hamidun majid

Ya Allah, berilah shalawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberi shalawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha terpuji lagi Maha Mulia. Dan berilah berkat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau memberi berkat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha terpuji lagi Maha Mulia.


Dari hadith: [Ibnu Hibban/ 1959, isnadnya sahih]

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ النَّبِيِّ الأُمِّيِّ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ النَّبِيِّ الأُمِّيِّ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

Allahumma salli `ala muhammadini n-nabiyyi l-ummiyyi wa`ala ali muhammad, kama sallayta `ala ibrahima wa `ala ali ibrahim, wabarik `ala muhammadini n-nabiyyi l-ummiyyi wa`ala ali muhammad, kama barakta `ala ibrahima wa`ala ali ibrahim, innaka hamidun majid

Ya Allah berilah shalawat kepada Muhammad, Nabi yang ummi dan sejahtera keatas keluarganya, sebagaimana Engkau telah memberi shalawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim.  Dan berilah berkat kepada Muhammad, Nabi yang ummi dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau memberi berkat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha terpuji lagi Maha Mulia.

Lain2 lafaz selawat sila lihat http://ms.wikipedia.org/wiki/Selawat

————————
Jazakallahu khairan

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: