Skip to content

Perlukan sebuah surau?

January 19, 2011

Perlukah sebuah surau?

Setiap penduduk yang membeli rumah di Taman Indah KLIA (TIKLIA) pasti bertanya kepada wakil penjual rumah semasa urusan jual beli, ada tapak surau tak? Apa jawapannya? Soalan ini dijawap kepada saya sebegini, “Ini kawasan lapang, saya rasa ini tapak surau”.

Setelah berpindah ke TIKLIA, jawapan yang pastinya adalah TIADA TAPAK SURAU.

Perlukah sebuah surau di Taman Indah KLIA ?

1. Jarak Masjid terdekat iaitu masjid Kg Baru Lanjut dengan TIKLIA adalah lebih kurang 7km.
2. Kesemua pemilik rumah adalah beragama ISLAM. Sehingga kini rumah yang telah dihuni di TIKLIA berjumlah 55 rumah dari 154 rumah.

Saya rasa 2 info di atas sudah cukup untuk menjawab soalan yang saya majukan. YA kami perlukan sebuah surau. InsyaAllah, info di bawah akan memberikan lagi kekuatan kenapa kita perlukan surau di sini.

1. Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, perkara pertama yang Baginda lakukan ialah membina sebuah masjid (Masjid Quba’). Masjid ini dibina untuk dijadikan tempat sembahyang, tempat berkumpul bersama para sahabat dan tempat untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang timbul. Kemudian Baginda membina pula Masjid al-Nabawi di Madinah. Rasulullah SAW sangat mengambil berat tentang pembinaan masjid ini. Baginda membina masjid di mana sahaja Baginda singgah.

Dalam kes TIKLIA, Surau perlu diwujudkan sebagai tempat sembahyang dan tempat untuk penduduk berkumpul untuk berbincang dan menyelesaikan pelbagai masalah yang akan timbul dalam masyarakat. Di manakah tempat untuk penduduk berkumpul dan berbincang jika surau tidak diwujukan. Tanpa surau dan organisasi nya saya percaya ikatan diantara penduduk akan tipis dan pelbagai masalah sukar diselesaikan.

Di bandar-bandar Islam, masjid biasanya menjadi focal point atau pusat segala aktiviti kehidupan penduduk setempat dengan lokasinya yang strategik.

2. Fungsi utama masjid/surau adalah sebagai tempat beribadat. Masjid/surau dibina untuk membolehkan sembahyang lima kali sehari semalam ditunaikan secara berjamaah. Sembahyang di masjid adalah lebih baik daripada sembahyang di rumah atau kedai sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Sembahyang berjemaah, ganjarannya melebihi daripada sembahyang di rumah atau di kedai sebanyak 27 kelebihan. Sesungguhannya sesiapa daripada kamu apabila mengambil wuduk dengan sempurna dan mendatangi masjid kerana hendak mengerjakan sembahyang, maka setiap langkah yang dilangkahinya akan mendapat satu ganjaran daripada Allah s.w.t. dan menghapuskan daripadanya satu dosa sehinggalah dia memasuki masjid” (Riwayat Bukhari daripada Abu Hurairah).

Kepentingan menunaikan sembahyang di masjid amat ditekan oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW. Penerangan dan peringatan tentang hal ini telah disebutkan dengan terperinci di dalam Bab 2. Antara yang penting ialah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Menyempurnakan wuduk, mengajak orang ramai ke masjid, menunggu sembahyang selepas sembahyang…. ini dapat membersihkan dosa-dosa. Sesiapa yang sentiasa berulang-alik ke masjid, sesungguhnya Allah menyediakan untuk mereka suatu tempat di syurga setiap kali mereka pergi dan balik”.

3. Fungsi masjid menurut fahaman Muslimin pada zaman permulaan Islam adalah luas. Selain dijadikan tempat beribadat, masjid menjadi pusat bagi penyebaran ilmu pengetahuan dan kebudayaan. Masjid sebenarnya mempunyai pertalian yang rapat dengan sejarah pendidikan Islam. Pada peringkat permulaan, iaitu pada tahun-tahun awal kelahiran agama Islam, pelajaran yang biasa diajar di masjid adalah yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan Islam seperti pengenalan kepada hukum-hakam Islam, dasar-dasar agama serta tujuan-tujuan dan hikmah-hikmahnya. Seterusnya, setelah Islam berkembang, masjid telah menjadi tempat untuk pengajaran dan pembelajaran bukan sahaja ilmu-ilmu agama tetapi ilmu-ilmu duniawi yang lain. Rasulullah SAW sendiri pun menggunakan masjid beliau di Madinah sebagai tempat mengajar sahabat-sahabat beliau tentang urusan-urusan agama dan dunia (Ahmad Shalaby 1976, 74).

Dalam kes TIKLIA, surau yang diwujudkan akan menjadi pusat perkongsian dan pembelajaran ilmu Islam dan duniawi. InsyaAllah kita akan anjurkan ceramah2 berjadual dan bermusim, kelas2 mingguan seperti kelas pengenalan al Quran, kelas tajwid, fekah, tasawuf, program bermusim seperti sambutan hari raya aidilfitri, sambutan hari raya aidiladha, solat tarawikh dan sebagainya. Tanpa surau, program2 ini belum tentu akan diadakan. Dan insyaAllah semua aktiviti dan program yang dianjurkan akan melahirkan anak2 soleh solehah dan pemimpin2 yang lebih memahami Islam dan mengamalkannya.

Terdapat banyak contoh masjid dalam sejarah ketamadunan Islam yang telah memainkan peranan penting dalam perkembangan ilmu. Diantaranya ialah :

Masjid Aqabah bin Nafi’ di Qairawan mengendalikan kuliah-kuliah tentang kejuruteraan, astronomi, ilmu-ilmu tumbuhan dan muzik melalui yayasan kebudayaan yang dikenali sebagai ‘Baitul Hikmah.’ Yayasan ini diiktiraf setaraf dengan universiti ketika itu.  Kegemilangan Masjid Zaitun di Tunisia pula berlaku dalam abad ketiga. Masjid ini mempunyai pejabat dan perpustakaan serta cawangan-cawangan diseluruh negeri (Abdullah Al-Amin Al-Nai’miy 1994, 188). Masjid al-Mansur di Baghdad pula dibina oleh Khalifah al-Mansur sebagai mercu tanda pembinaan Bandar Baghdad. Pembinaannya dilakukan pada tahun 145H dan kemudiannya diperluas dan diperbaiki semasa pemerintahan Harun ar-Rasyid. Masjid ini telah menjadi pusat perkembangan ilmu bahasa dan kesusasteraan Islam (Ahmad Shalaby 1976, 77).

Di Andalusia, Khalifah Abdul Rahman al-Nasir telah mendirikan sebuah universiti yang besar, dikatakan yang pertama di dunia, di Masjid Besar Cordova. Pengajian di situ diberikan percuma dan universiti ini telah berjaya menarik minat orang-orang Islam dan bukan Islam, yang datang bukan sahaja dari Sepanyol tetapi juga dari  Eropah, Asia dan Afrika (Shaikh Ali Mohammad Mokhtar 1997, 68). Masjid Al-Azhar pula dibina di Mesir oleh Jauhar as-Siqilli pada tahun 360H. Kemudian pada tahun 378H, beliau menentukan supaya masjid ini dikhususkan sebagai tempat pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan ilmiah (Ahmad Shalaby 1976, 75). Sejak itu sehingga sekarang, Masjid Al-Azhar telah menjadi lambang keagungan ilmu Islam dan merupakan salah sebuah universiti yang penting dan terkemuka. Begitulah juga cemerlangnya masjid-masjid lain yang ternama seperti Masjid Jami’ Amru Al As, Masjid Al Askar, dan Masjid Ahmad Ibnu Tulun.

Surau juga akan menjadi sebagai pusat kegiatan masyarakat dan pentadbiran kewangan. Pentadbirang kewangan di sini bermaksud, kita boleh mengumpul dana untuk dihadiahkan kepada mana2 penduduk yang ditimpa kecelakaan atau memerlukan bantuan. Sebagai contoh :

Masjid di Madinah pada zaman Rasulullah SAW telah menjadi pusat kegiatan masyarakat dan pentadbiran kewangan negara. Di masjid ditempatkan Baitulmal iaitu sumber kewangan untuk membiayai kebajikan masyarakat. Urusan pengutipan dan pembahagian zakat dijalankan di masjid. Begitu juga dengan pembahagian sedekah dan bantuan kewangan kepada fakir miskin serta pembahagian harta rampasan perang .

Pengumuman perkara2 yang berkaitan penduduk boleh dilakukan di surau. Hebahan maklumat semasa dan terkini juga boleh bermula dari surau. Sebagai contoh:

Semasa zaman Rasulullah SAW, pengumuman perkara-perkara yang berkaitan dengan kepentingan negara dan masyarakat telah dilakukan di masjid. Di samping itu masjid juga menjadi tempat bermesyuarat dan berunding, terutama dalam hal-hal berkaitan dengan ketenteraan dan politik, strategi dakwah serta penyebaran Islam. Contohnya, dalam peristiwa peperangan Uhud, Rasulullah SAW bermesyuarat dan bertukar-tukar fikiran dengan sahabat di masjid selepas menunaikan sembahyang Jumaat. Ketika itu mereka berunding tentang strategi serangan yang akan dilakukan terhadap pihak kaum Quraisy. Semasa berlakunya peperangan, perajurit yang cedera di khemahkan di perkarangan masjid. Masjid telah dijadikan markas pemulihan dan rawatan para sahabat dan perajurit yang cedera.

Surau juga boleh dijadikan tempat untuk mendamai atau menyelesaikan persengketaan yang berlaku diantara penduduk. Pada zaman Rasul, Rasulullah SAW juga telah menjadikan masjid tempat untuk menyelesaikan persengketaan, memutuskan tuntutan, mengadakan perbicaraan, menentukan hak dan memberikannya kepada yang berhak. Ini menunjukkan masjid telah dijadikan sebagai mahkamah Islam untuk menyelesaikan kes-kes di hadapan Rasulullah SAW.

Jawapan kepada tajuk terbitan ini adalah:
Ya, sebuah surau diperlukan di Taman Indah KLIA. Sama2lah kita usahakan.

From → Artikel

One Comment
  1. InsyaAllah,

    Semoga sentiasa dipermudahkan semua urusan Penduduk Taman Indah KLIA.

    “Ya Allah, berikanlah kami (Penduduk Taman Indah KLIA) kekuatan dan semangat untuk melaksanakan / mengikuti SEMUA sunnah² yang ditinggalkan oleh KekasihMu Muhammad s.a.w. Amin Ya Rabbal ‘alamin.”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: