Skip to content

Draf Perlembagaan Surau

March 15, 2011

Bismillahirahmanirahim..

Assalamualaikum,

Berikut adalah draf perlembagaan surau yang dibuat oleh Pengerusi Penaja Surau Al Musawwir Taman Indah KLIA, Cikgu Amin. Mohon kerjasama semua membaca dan memberi komen dan pendapat. InsyaAllah, draf ini akan kita bincangkan dalam perjumpaan atau mesyuarat yang akan diadakan pada bulan Mei atau Jun 2011. Sebarang pindaan atau penambahan bolehlah kita bincangkan bersama untuk kebaikan bersama.

DRAF PERLEMBAGAAN

SURAU AL-MUSAWWIR TAMAN INDAH KLIA

43900 SEPANG, SELANGOR.


1. Nama Dan Alamat

i.           Surau Al-Musawwir Taman Indah KLIA

Al-Musawwir bermaksud Pembentuk ke arah pembentukan sahsiah dan peribadi muslim yang beriman untuk mendapat keredaan ALLAH SWT dunia dan akhirat.

ii.         Alamat Perhubungan :-

Surau Al-Musawwir Taman Indah KLIA,

No 18, Lorong Indah KLIA 2A,

Taman Indah KLIA,

43900 Sepang, Selangor.

2. Motto

“ PEMBENTUKAN SAHSIAH DAN PERIBADI MUSLIM MENJADI INSAN GEMILANG “

3. Tujuan

i.                     Mematuhi perintah Allah SWT supaya mendirikan, membangunkan dan mengimarahkan rumah ALLAH untuk tujuan beribadah, tunduk dan sujud membesarkan Allah SWT.

ii.                   Sebagai pusat pemuafakatan untuk semua ahli qariah termasuk solat dan program kemasyarakan serta kebajikan seperti khairat, ibadah qurban, urusan pengendalian jenazah, gotong royong dll.

iii.                  Sebagai pusat mengeratkan hubungan silaturahim, ukhuwah dan mahabbah (kasih sayang) di kalangan ahli qariah.

iv.                  Sebagai pusat pengajian dan penyebaran ilmu  khususnya ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah.

v.                    Sebagai pusat pentadbiran dan dakwah setempat dalam usaha ke arah kembali kepada kehidupan Islam sebagai cara hidup yang diredhai oleh Allah SWT.

vi.                  Sebagai pusat kemudahan peralatan dan kelengkapan pengendalian majlis untuk kegunaan ahli qariah (seperti kanopi, set buffet, kerusi meja dll). Peralatan dan kelengkapan ini boleh dipinjamkan untuk kegunaan ahli qariah. (Semua harta benda kekal  surau hendaklah direkodkan di atas nama surau).

4. Keahlian

i.                     Semua muslimin dan muslimat yang telah baligh dan bermastautin di Taman Indah KLIA, Sepang, Selangor.

ii.                   Tiada apa-apa syarat untuk penyingkiran atau pemulauan ahli kecualli tidak menepati kehendak hukum syarak.

iii.                  Tiada yuran keahlian yang dikenakan untuk menjadi ahli.

5. Mesyuarat Agung

i.                                 Jawatankuasa pengelola surau dipilih melalui Mesyuarat Agung Surau. Sekurang-kurangnya seramai 30 orang ahli qariah hadir dan berhak mengundi atau dua kali jumlah ahli jawatankuasa mengikut mana-mana yang dahulu bagi mencukupkan bilangan korum mesyuarat.

ii.                               Jika korum tidak mencukupi selepas ½ jam daripada waktu yang ditetapkan maka mesyuarat ini hendaklah di tangguhkan pada suatu tarikh lain yang tidak melebihi daripada 30 hari.

iii.                              Jika korum tidak mencukupi juga selepas ½ jam daripada waktu yang ditetapkan setelah ditangguhkan pada kali pertama maka  berkuasalah ahli yang hadir pada hari itu untuk meneruskan mesyuarat tapi tidak berkuasa mengubah apa-apa keputusan dasar atau perlembagaan surau.

iv.                              Mesyuarat Agung Tahunan surau hendaklah diadakan secepat mungkin setelah berakhirnya tahun kewangan dan tidak lewat dari 31 hb. Mac setiap tahun.

v.        Agenda  Mesyuarat Agung  tahunan ialah :

a)   Menerima laporan aktiviti / program sepanjang tahun lalu

b)   Menerima laporan bendahari dan penyata kewangan yang telah di audit.

c)   Melantik ahli Jawatankuasa dan pemeriksa kira-kira (juruaudit) dan pemegang

amanah untuk tahun akan datang.

d)   Membincangkan usul dan cadangan jika ada dan perkara perkara lain yang berkaitan

vi.      Setiausaha hendaklah mempamir dan menghebahkan kepada semua ahli qariah sekurang-Kurangnya 7 hari sebelum mesyuarat agung diadakan. Satu agenda termasuk salinan peringatan mesyuarat, laporan tahunan dan penyata kewangan surau bagi tahun lalu yang telah diaudit dipamerkan di bangunan surau.

vii.     Mesyuarat agung khas atau luarbiasa surau boleh diadakan :

a)       Bila difikirkan mustahak oleh Jawatankuasa seperti perletakan jawatan atau pengunduran pengerusi dan penolong pengerusi serentak atas sebab kematian, penghijrahan atau salah laku yang melanggar hukum syarak.

b)   Perletakan jawatan dan penarikan diri semua ahli jawatankuasa serentak.

c)   Atas permintaan dan desakan beramai-ramai ahli qariah dengan secara bertulis tidak kurang dari 30 orang ahli qariah.

d)   Peraturan dan prosedur mengadakan mesyuarat agung khas adalah sama seperti mesyuarat agung tahunan di fasal sebelumnya.

e)   Pengerusi dan setiausaha sementara akan dilantik oleh ahli jemaah untuk memainkan peranan mengadakan mesyuarat agung khas bila berlakunya perkara di para  vi (a)(b)

6. Ahli Jawatankuasa Surau

i.          Keahlian

Keahlian Jawatankuasa adalah seperti berikut :

a.         Seorang atau Lebih Penasihat

b          Seorang Pengerusi

c.         Seorang Timbalan Pengerusi

d.         Seorang Setiausaha

e.         Seorang Penolong Setiausaha

f.         Seorang Bendahari

g.         Seorang Penolong Bendahari

h.          Sebelas orang ahli jawatankuasa termasuk seorang wakil muslimat

(7 orang dilantik dalam mesyuarat Agong)

i.         Dua orang Pemeriksa kira-kira

ii.         Syarat Keahlian Jawatankuasa

a.         Islam, warganegara Malaysia , berakal dan baligh.

b.         Berumur melebihi 21 tahun.

c.         Adalah penduduk yang bermastautin di Taman Indah KLIA.

d.         Mempunyai rekod peribadi yang baik dan tidak terlibat dengan apa-apa kesalahan jenayah dan salahlaku yang serius dari sudut pandangan syarak seperti peminum arak, kaki judi, penzina dll.

iii)         Pencalonan

`    Ahli yang tidak hadir didalam mesyuarat agung tidak boleh di calon dan dilantik  kecuali ahli yang mempunyai alasan yang kukuh tidak dapat hadir  tetapi menawarkan diri untuk berkhidmat. Surat  menawarkan diri mestilah sampai kepada setiausaha sehari sebelum mesyuarat agung dan akan di maklumkan oleh Setiausaha di dalam mesyuarat tersebut.

iv.                  Bagi ahli jawatankuasa, 7 orang adalah dilantik didalam mesyuarat agung  mengikut jumlah undi terbanyak dan 4 orang lagi akan di lantik oleh didalam mesyuarat Jawatankuasa yang pertama bagi sesi akan datang.

v.                    Prosedur pencalonan ahli dalam, mesyuarat agung dijalankan berdasarkan kehendak majoriti   dengan  mematuhi format iaitu ;

a.      Nama calon di cadangkan dan perlu disokong sekurang kurangnya seorang ahli.

b.      Di buka untuk sebarang bantahan jika ada.

c.      Sekiranya lebih seorang calon, pemilihan  akan dbuat melalui undian.

d.      Calon yang memperolehi undi tertinggi akan di istiharkan sebagai pemenang dan keputusan  adalah muktamad. Calon terpilih tidak       dibenarkan menarik diri kecuali mempunyai sebab-sebab yang munasabah.

vi.                  Perlantikan jawatankuasa dijalankan setiap dua tahun kalender.

7. Pegawai-pegawai Surau

a.         3 orang Imam

b.         3 orang Bilal ( Muazin )

c.         3 orang Siak

d.         1 orang Pengurus Inventori Peralatan dan Kelengkapan surau

e.         1 orang Pembantu Pengurus Inventori Peralatan dan Kelengkapan surau

f.          1 orang pengurus dan 1 orang Pembantu urusan Pengkebumaian lelaki

g.         1 orang pengurus dan 1 orang Pembantu urusan Pengkemubian wanita

i.          Pegawai pegawai surau adalah dilantik oleh Ahli jawatankuasa berdasarkan ilmu, pengetahuan, kemahiran dan komitmen. Ahli jawatankuasa Surau juga boleh menjadi pegawai surau sekiranya  berkelayakan.

ii.          Syarat untuk menjadi pegawai surau adalah sepertimana syarat menjadi Ahli Jawatankuasa.

iii.         Semua ketua imam, ketua bilal dan ketua siak dimestikan hadir pada setiap kali  mesyuarat Jawatankuasa kerja. Pegawai lain adalah dijemput hadir.

v.         Tempoh perkhidmatan pegawai surau adalah  selama 2 tahun (sama seperti perlantikan Ahli Jawatankuasa surau)

v.          Khidmat pegawai surau ini adalah khidmat sukarela.

vi.         Penamatan pegawai surau hanya boleh dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa dengan persetujuan majoriti Ahli Jawatankuasa

8. Peranan Jawatankuasa

i.          Jawatankuasa berperanan mengelola dan mengatur program dan aktiviti harian surau dan membuat keputusan atau sesuatu perkara yang tidak terkeluar daripada landasan kebenaran yang termaktub dalam Al-Quran dan Assunah.

ii.          Jawatankuasa hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh 4 bulan. Pemakluman bagi setiap mesyuarat hendaklah dimaklumkan kepada ahli Jawatankuasa 7 hari sebelum mesyuarat dijalankan.

iii.         Pengerusi atau sekurang-kurangnya 5 orang ahli jawatankuasa (Setiausaha atau Naib Setiausaha, bendahari dan 3 orang AJK ) boleh memanggil mesyuarat Jawatankuasa pada bila-bila masa yang difikirkan sesuai (pemakluman mesyuarat mesti mengikut para 2 di atas). Sekurang-kurangnya ½ daripada jumlah AJK hendaklah hadir bagi mengesahkan perjalanan mesyuarat.

iv.        Ahli jawatankuasa dan pegawai surau (ketua) yang gagal menghadiri mesyuarat 3 kali berturut turut tanpa alasan yang munasabah adalah  di sifatkan kurang berminat dan telah menarik diri dan akan diganti dengan ahli qariah lain.

v.          Jika ada AJK yang telah meninggal dunia atau berpindah atau menarik diri, jawatankuasa berhak melantik sesiapa sahaja ahli qariah berdasarkan pilihan majoriti  dalam mesyuarat jawatankuasa.

vi.         Jawatankuasa boleh menubuhkan jawatankuasa kecil dan melantik ahli jawatankuasa kecil bagi membantu melicinkan lagi tugas-tugas jawatankuasa.

v.          Jawatankuasa hendaklah menghantar senarai nama-nama AJK baru dan pegawai-pegawai surau yang dilantik di dalam mesyuarat agung kepada Pejabat Majlis Agama Islam Selangor dalam tempoh 2 minggu selepas mesyuarat untuk makluman.

9. Skop Tugas  Ahli Jawatankuasa dan Pegawai Surau

9.1         Penasihat

i.          Sebagai penasihat dan qudwahhasanah kepada semua ahli qariah berdasarkan ilmu, ketokohan dan pengalamannya.

ii.          Memberi nasihat kepada setiap perjalanan aktiviti dan halatuju surau dari masa kesemasa.

iii.         Menjadi pakar rujuk kepada semua permasalahan dalam urusan agama.

iv.         Menjadi pemimpin dan pembimbing kepada ahli qariah.

Penasihat adalah jawatan secara lantikan dan mesti bermastautin di dalam qariah Taman Indah KLIA. Penasihat boleh di jemput menghadiri mesyuarat Jawatankuasa dari masa kesemasa jika perlu.

9.2        Pengerusi

i.          Menjadi ketua kepada organisasi surau

ii.          Mempengerusikan setiap mesyuarat Jawatankuasa

iii.         Merasmikan program dan aktiviti surau

iv.         Turut mengimami solah berjemaah jika ketiadaan imam.

v.          Mewakili surau ke program pihak lain jika di jemput.

vi.         Memastikan perjalanan surau berjalan dengan baik

vii.        Memantau perjalanan setiap ahli jawatankuasa  dan pegawai-pegawai surau.

viii.        Boleh mengimami solat berjemaah jika ketiadaan imam.

9.2       Timbalan Pengerusi

i.          Mewakili Pengerusi  jika ketiadaan pengerusi dalam setiap program dan mesyuarat jawatankuasa.

ii.          Membantu pengerusi dalam memastikan setiap perjalanan surau berjalan dengan baik.

iii.         Timbalan pengerusi juga boleh mengetuai salah satu  lujnah surau jika perlu.

iv.         Boleh mengimami solat berjemaah jika ketiadaan imam.

9.3     Setiausaha

i.          Menguruskan rekod dan maklumat pentadbiran surau

ii.          Memanggil mesyuarat AJK.

iii.         Menyediakan minit mesyuarat Surau selepas mesyuarat dan mengedarkan kepada ahli.

iv.         Menguruskan surat menyurat  dalaman dan luaran surau.

v.          Memaklumkan aktiviti dan program surau dari masa kesemasa.

vi.         Menguruskan  maklumat  untuk mesyuarat agung Surau.

vii.        Menyimpan semua rekod surat menyurat dan apa jua berkaitan perjalanan surau.

viii.        Boleh mengimami solat berjemaah jika ketiadaan imam.

9.4        Penolong Setiausaha

i.          Membantu setiausaha dari masa kesemasa.

ii.          Mencatat minit  dalam mesyuarat jika ketiadaan setiausaha.

iii.         Menghebahkan program surau dipapan kenyataan surau dari masa kesemasa.

iv.         Boleh mengetuai atau mengganggotai lujnah surau jika  bersesuaian.

v.          Boleh mengimami solat berjemaah jika ketiadaan imam.

9.4       Bendahari

i.          Menguruskan hal ehwal kewangan surau

ii.          Menyimpan rekod dan data data berkaitan pendapatan dan perbelanjaan surau

iii.         Menyediakan laporan kewangan bulanan untuk di laporkan kedalam mesyuarat AJK

iv.         Mengawal selia perbelanjaan surau dari masa kesemasa.

v.          Membuat pembelian dan pesanan barangan surau.

vi.         Menguruskan pembayaran bil-bil eletrik, air dll.

vii.        Boleh mengimami solat berjemaah jika ketiadaan imam.

viii.        Menguruskan sumbangan saguhati untuk penceramah jemputan surau dan salurkan kepada lujnah dakwah.

ix.         Menguruskan kutipan derma tabung surau.

x.         Membantu Jawatankuasa mendapatkan dana kewangan surau melalui derma atau lain-lain projek ekonomi.

xi.         Boleh mengimami solat berjemaah jika ketiadaan imam.

9.5        Penolong Bendahari

i.          Menbantu tugas-tugas bendahari

ii.          Boleh mengimami solah berjemaah jika ketiadaan imam.

9.6       Ahli Jawatankuasa

Ahli jawatankuasa berperanan membantu Pengerusi menjalankan program dan aktiviti surau dari masa kesemasa. Bagi melicin dan melancarkan aktiviti beberapa jawatankuasa di ujudkan yang di panggil Lujnah

10. Kewangan

i.               Wang surau ini boleh digunakan untuk perkara yang berfaedah bagi  menjalankan  program  surau termasuklah perbelanjaan pentadbiran, bayaran bil eletrik dan air, belian peralatan surau, belanja pembaikkan surau, jamuan dan keraian, saguhati penceramah dari masa semasa.

ii.       Semua wang surau hendaklah di simpan di Akaun Bank dan semua cek atau kenyataan pengeluaran wang dan kira-kira surau hendaklah di tandatangani bersama oleh pengerusi, setiausaha dan bendahari atau mana mana dua antara tiga penama (pemegang amanah).

iii.      Bendahari di bolehkan menyimpan wang runcit tidak melebihi dari RM 200.00 pada sesuatu masa. Wang selebihnya perlu di masukkan kedalam akaun Bank atas nama Surau.

iv.      Perbelanjaan yang melebihi daripada RM 500.00 bagi sesuatu masa tidak boleh di buat tanpa kelulusan Jawatankuasa terlebih dahulu manakala perbelanjaan yang kurang dari RM500.00 boleh di luluskan oleh pengerusi dan bendahari dengan syarat untuk kepentingan khusus kepada ahli qariah.

v.       Penyata penerimaan dan perbelanjaan setiap bulan hendaklah disediakan oleh bendahari untuk disahkan dalam mesyuarat jawatankuasa manakala penyata tahunan hendaklah disediakan oleh bendahari dan di audit oleh pemeriksa kira-kira yang dilantik apabila telah tamat tempoh kewangan setiap tahun. Penyata kira-kira yang telah diaudit hendaklah dimaklumkan untuk kelulusan mesyuarat agung dan salinannya hendaklah diedarkan untuk makluman ahli.

vi.      Tahun kewangan surau bermula pada 1 januari dan berakhir pada 31 Disember pada setiap tahun.

11. Pemeriksa Kira-kira

i.       Dua orang yang bukannya AJK surau atau pegawai surau boleh dilantik didalam mesyuarat agung sebagai pemeriksa kira-kira (juru audit dalam) dan boleh dilantik semula. Tempoh khidmat adalah dwitahun.

ii.       Pemeriksa kira-kira adalah dikehendaki memeriksa kira-kira tahunan surau dan membuat laporan atau pengesahan untuk diluluskan dalam  mesyuarat agung. Pemeriksa kira-kira juga boleh pada bila-bila masa mengaudit kira-kira  kewangan surau jika difikirkan perlu dalam tempoh khidmat  mereka.

iii.      Pemeriksa kira-kira sebaiknya dikalangan ahli yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman luas dalam perkara kewangan dan pengauditan.

12. Penasihat

Jawatankuasa boleh melantik orang yang berkelayakan untuk menjadi penasihat  melalui persetujuan ahli qariah dalam mesyuarat agung. Penasihat dalah dikalangan ahli yang bermastautin tetap di Taman Indah KLIA dan khidmatnya  adalah dalam tempoh selagi  ianya diperlukan.

13. Sumbangan dan Saguhati

i.      Surau boleh menerima sebarang bentuk sumbangan wang dan peralatan dan apa sahaja yang sesuai dari orang ramai samada melalui tabung surau, kutipan derma, projek ekonomi dan lain-lain yang dibenarkan oleh syarak.

ii.     Surau boleh memberi saguhati sebagai imbuhan yang terdiri daripada penceramah, pengajar dan sesiapa sahaja yang difikirkan sesuai berdasarkan jumlah yang dipersetujui oleh Jawatankuasa dari masa kesemasa.

iii.     Surau juga boleh menerima wang keuntungan dari bank atau dari sumbangan bukan  islam dan wang ini hendaklah di gunakan untuk tujuan pembangunan prasarana surau seperi tandas, pagar, dll.  Surau tidak boleh menerima wang dari  kutipan zakat dari orang ramai.

14. Tafsiran Undang-Undang

i.       Diantara tarikh mesyuarat agung, jawatankuasa boleh memberikan tafsitran kepada undang-undang ini dan jawatankuasa jika mustahak boleh memutuskan perkara-perkara  yang tidak terkandung dalam perlembagaan surau ini sekiranya perlu.

ii.       Kecuali perkara yang bertentangan atau tidak selaras dengan dasar yang telah dibuat dalam mesyuarat agung, keputusan jawatankuasa adalah muktamad jika tidak diubah dalam mesyuarat agung.

15. Larangan

i.       Sebarang jenis salah laku yang bertentangan dengan syarak yang jelas boleh mencemarkan kesucian rumah Allah seperti berjual beli, hiburan melalaikan, maksiat , pergaduhan dan lain-lain adalah di larang sama sekali.

ii.      Surau ini tidak boleh mengambil bahagian dalam menjadi tempat untuk kempen mana- mana parti politik atau pun ceramah politik yang bertentangan dengan islam.

iii.       Surau tidak boleh dijadikan tempat tidur yang berpanjangan  bagi orang-orang yang tidak

berkenaan.

16. Pindaan Undang-undang

i.       Undang-undang dan peraturan ini tidak boleh diubah atau dipinda kecuali dengan keputusan mesyuarat agung. Sebarang pindaan perlulah di usulkan dan di bahaskan dalam mesyuarat agung samada diterima atau di tolak oleh ahli-ahli.

ii.        Undang-undang dan perlembagaan surau ini tidak terikat dengan mana-mana akta  rasmi oleh pihak berkuasa. Undang-undang tubuh ini adalah sebagai  panduan  dan etika untuk membantu ahli dalam  mengelolakan surau  berdasarkan peraturan yang dipersetujui bersama.

–           Sekian    –

Tuan dan puan serta saudara sekalian boleh juga memuat turun Draf Perlembagaan ini di ruangan Muat Turun pada menu sebelah kanan blog.

Wassalam.

5 Comments
  1. Mengapa perlunya semua ini?

  2. Ibarat masak kek.. ada objektif, ada resepi dan tatacaranya dan ada kekangannya.

    Masakan kek akan terjadi dengan cantik dan sedap untuk dimakan jika kita tidak mengikut resepi, tatacara dan mengelak kekangannya.

    Jika dilihat pada solat juga.. ada rukun, sunat, makruh, bidaah, haram.. perkara2 ini ada yang terdapat di dalam al Quran dan hadith dan ada yang diterjemah mengikut fahaman imam2. Jika diikut insyaAllah solatnya telah dijanjikan diterima Allah.

    Begitu juga dalam membentuk satu Jemaah.

  3. Owh.. Benar Tuan..

    Seperti bersyariat juga.. Perlu ada Tarikatnya, Maarifatnyer dan Hakikatnya kan.. kalau takder salah satu diantaranya, Canggunglah dia..

    Macam solat (maaf yer Tn. No. 15, curi topik plak), Syariatnya adalah gerakannya, Tarikat adalah lafaznya, Maarifat adalah waktu solatnya dan Hakikatnya adalah semata² Ikhlas mengharapkan hanya keredhaanNya..

    p/s: Perkara 7 (perlembagaan) tak sikronize ngan perkara 8 dan perkara 9.. harap dapat dipinda..

  4. surautiklia permalink

    Ahli Qariah Surau Taman Indah KLIA

    Pandangan atau cadangan atau pendapat anda adalah dialu-alukan untuk penambahbaikan
    Draf Perlembagaan Surau TIKLIA.

    Kalau pandangan @ cadangan @ pendapat anda panjang boleh send email attch file ke surautklia@gmail.com

    Yang Penting ialah kongsikan idea @ buah fikiran anda untuk kebaikan bersama. Jangan simpan atau lontarkan di tempat yang tidak sesuai untuk perbincangan.

    Dari hadis Nabi bermaksud

    “Berfikir sesaat itu lebih baik daripada sembahyang sunat selama tujuh puluh tahun”.

    Pihak AJK Surau akan meneliti dan menilai semua pandangan dan cadangan anda dan akan membuat pindaan kepada darf ini jika difikirkan sesuai.

    Terima Kasih
    Salam dari Pengerusi Penaja Surau TIKLIA

  5. {Quote “”] Yang Penting ialah kongsikan idea @ buah fikiran anda untuk kebaikan bersama. “Jangan simpan atau lontarkan di tempat yang tidak sesuai” untuk perbincangan.

    Alamak… Saya bagi tempat salah ker nih?? Maap ler.. huhuhuhuhu

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: